Saturday 14 January 2012

PENULISAN BAHASA MELAYU 1

Tajuk: Kenaikan harga minyak salah siapa?
Sumber: Debat antara YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (dipetik daripada Mingguan Wasilah 27-2 Ogos 2008)

            Apabila bercakap tentang isu semasa yang berlaku di negara kita masa kini, kita tidak mungkin terlepas untuk bercakap tentang isu kenaikan harga minyak. Isu ini telah menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat dan menjadi isu yang besar dalam politik negara. Pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) menuding jari kepada pihak kerajaan bahawa kenaikan harga minyak yang berlaku di negara kita sekarang adalah berpunca daripada kerajaan dan mereka mahu supaya harga minyak diturunkan sebanyak RM 0.50 seliter. Sejauh mana tuduhan ini berasas?
            Apabila munculnya isu kenaikan harga minyak, kita seharusnya merujuk kepada senario yang berlaku di peringkat antarabangsa. Isu kenaikan harga minyak sebenarnya bukanlah isu dalam negara sahaja tetapi ia juga isu antarabangsa. Naiknya harga minyak di negara kita adalah kerana naiknya harga minyak di peringkat antarabangsa. Hal ini disebabkan oleh isu-isu global seperti perang di Iraq, serangan di Iran, permintaan minyak yang tinggi di China dan India dan factor-faktor lain di serata dunia. Negara kita tidak melancarkan sistem tutup pintu seperti yang pernah dilakukan oleh Jepun suatu masa dahulu. Ekonomi negara kita juga bergantung kepada apa yang berlaku di luar sana. Oleh itu, apa saja yang berlaku di peringkat global, kita juga pasti terkena tempiasnya. Justeru itulah kita melakukan beberapa tindakan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi kita.
            Harga minyak sebelum ini adalah sebanyak RM1.92 seliter. Jika kita teruskan harga minyak pada harga itu sedangkan harga minyak di peringkat antarabangsa sudah meningkat, apa akan berlaku? Jawapannya di sini ialah kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang banyak iaitu sebanyak RM50 billion. Hal ini boleh menyebabkan program-program pembangunan negara berkenaan sekolah, rakyat, infrastruktur dan sebagainya tidak dapat dijalankan. Menaikkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan sememangnya bukanlah prinsip ekonomi yang sihat. Kita perlu mengakui bahawa kaedah subsidi adalah kaedah yang tidak boleh bertahan lama. Kalau kita terus memberi subsidi yang banyak, kita akan mewujudkan satu keadaan bahawa wang negara yang sepatutnya dilaburkan untuk kepentingan rakyat terpaksa digunakan untuk menampung subsidi minyak yang sebahagiannya akan digunakan oleh orang-orang yang sudah kaya. Syarikat-syarikat seperti EXXON Mobil, SHELL dan sebagainya juga akan mendapat faedah daripada wang rakyat. Kenapa tidak kita berikan wang tersebut terus kepada rakyat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju? Jika kita terus menuduh bahawa semua ini terjadi kerana kelemahan dalam pengurusan, rasuah dan sebagainya, mari kita tanya negara-negara maju lain yang paling rendah kadar rasuahnya seperti Norway dan Findland. Mereka juga tidak mengamalkan sistem subsidi dan nyata sekali ekonomi negara mereka menunjukkan prestasi yang baik. Malaysia juga seharusnya bergerak ke arah itu.
            Kita tidak seharusnya melihat kenaikan harga minyak ini sebagai satu perkara negatif. Kita seharusnya mengkaji dahulu apa puncanya sebelum menuding jari ke  arah orang lain. Jika harga minyak kita murah sekali pun, kita mungkin akan berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi. Kita ambil beberapa buah negara yang harga minyaknya rendah seperti Venezuela dan Iran. Di Venezuela, kadar inflasinya 30%, iaitu yang terburuk dalam negara Amerika Latin. Iran pula kadar inflasi yang kelapan terburuk di dunia sekarang. Kita seharusnya bersyukur kerana walaupun negara  menghadapi krisis minyak, rakyat masih cukup makan. Kita mesti belajar daripada sejarah. Sebelum ini kita pernah menghadapi detik yang lebih sukar iaitu kegawatan ekonomi pada tahun 1997. Sekiranya pada ketika itu kita mengambil jalan keluar yang mudah iaitu memilih untuk menerima tawaran pinjaman kewangan daripada bank dunia iaitu IMF, bayangkan apa yang terjadi dengan negara kita sekarang. Kemungkinan besar masalah ekomoni kita akan makin teruk kerana terpaksa menampung bebanan hutang yang banyak dengan kadar bunga yang tinggi. Kita bernasib baik kerana perdana menteri pada ketika itu iaitu Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad mengambil inisiatif lain iaitu dengan berjimat cermat. Bak kata pepatah, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
            Sebenarnya setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan semuanya adalah untuk kepentingan rakyat. Krisis minyak yang berlaku sekarang bukanlah yang pertama di negara kita. Kita tidak seharusnya cepat melatah dengan apa yang berlaku. Jika kita singkap kembali sejarah krisis minyak di negara ini, krisis minyak yang pertama berlaku pada tahun 1973 dan 1974. Ianya berlaku selepas perang Yunkipur yang menyebabkan orang-orang Arab di negara-negara Arab berpakat untuk mengenakan tindakan embargo minyak kepada negara-negara yang menyokong Israel pada waktu itu. Rentetan itu, pengeluaran minyak dikurangkan. Pada waktu itu, seluruh dunia mengalami inflasi yang amat teruk. Harga minyak naik mendadak 400% daripada 10 dolar setong hingga 40 dolar setong dalam masa 6 bulan. Di negara kita, bahang krisis minyak juga amat terasa. Pada waktu itulah Tun Abd. Razak menubuhkan PETRONAS walaupun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada ketika itu mengetuai perarakan mahasiswa menentang cadangan Tun Abd. Razak. Usaha kerajaan pada ketika itu untuk menubuhkan PETRONAS bukanlah suatu yang mudah kerana dunia luar menekan kita supaya tidak mengambil hak yang diberikan kepada SHELL oleh British sebelum meninggalkan Tanah Melayu.
            Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia kita harus berfikir ke hadapan. Apa sahaja yang berlaku di sekitar kita, kita tidak seharusnya cepat melatah. Setiap masalah perlu dikaji dengan teliti dan tindakan yang kita buat untuk menyelesaikannya mungkin tidak semudah yang disangka. Jika kita sentiasa mahu semuanya senang, mungkin kita tidak akan berjaya mencapai jalan penyelesaian. Kita perlu bersatu padu untuk kemaslahatan rakyat dan mengelakkan pertengkaran dan tuduh-menuduh antara satu sama lain. 

No comments:

Post a Comment